Tuesday, November 26, 2013

sweet and sour.

salam alaik


tahun ini bagi aku ialah tahun yang dimana permulaannya sungguh sempurna, ditengahnya penuh ketahian , dan diakhir akhirnya penuh bunga.

* * * 
Alhamdulillah , tapak tapak yang aku lalui , baik yang masam , masin ataupun manis ,aku kira aku terima seadanya. aku kira itu sebagai satu lagi pahat jahitan yang akan akhirnya melengkap-lengkap carik-carik yang lain , sesempurnanya.

yang pahit itu , sungguh. sungguh pahit . dan yang manis itu pula , sungguh. sungguh manis.

* * * 
moga terjejaknya kembali kaki aku di bumi Malaysia , esok , akan diikuti perkara yang manis manis aja.

moga moga.


Sunday, November 17, 2013

jangan kedekut gembira.

salam alaik.


ada betulnya yang kita tidak mungkin bahagia, sepanjang masa. senyuman yang terukir di bibir juga ,tidak mungkin bertahan selamanya. kerana kita manusia , dan jalan yang kita lalui ini , namanya kehidupan.

* * *

tetapi jangan kerana kita merasakan yang bahagia atau cerita ini tidak selamanya , kita memilih untuk membunuh perasaan itu , membunuh terus perasaan ini awal-awal , supaya kita tidak terasa sakit yang dalam , luka yang teruk di kemudian hari.terus aja kita buang rasa manis itu , jauh-jauh , terus saja emosi melayang ,dan membias.jangan , jangan begitu ya? :) . benar , dalam masa kita sedang enak menikmati rasa rasa manis yang tuhan beri , kita juga tidak boleh terlebih dan berlebih-lebih . kerana sifat berlebih-lebih dalam semua perkara sekalipun , membunuh. tapi pernahkah kamu terfikir ? di saat kamu tidak ingin berlebih-lebih bergembira kerana takut terhempas di kemudian hari , kamu juga tidak boleh terkurang sifat manis itu.kamu tidak boleh mengurangkan sifat manis itu.

ayat mudah , pada masa sama kamu bertindak untuk tidak mahu berlebih ,kamu juga harus memastikan rasa-rasa itu tidak kurang ,bukan hanya fokus untuk tidak boleh berlebih semata-mata. kerana itu di dalam islam , wujudnya nilai tidak boleh tamak , pada yang sama , tidak boleh juga kedekut.

jangan kedekut gembira. ya? : )

* * *

pada aku , sifat membunuh perasaan ceria itu pada awal-awal , juga termasuk dalam kategori "mengurangkan" perasaan manis secara tidak sedar. jangan. jangan begitu ya?

* * *

walau setitis nikmat gembira tuhan beri ,jangan biar dia kering . jangan biar dia menghilang. kerana kalau nikmat setitis itu pun kita takut untuk rasa , esok lusa bila tuhan timpakan sehujan ujian dan kemaraunya bahagia , mungkin waktu itu , mungkin kita akan terduduk dahaga , yang amat.

jangan kedekut gembira . ya IK ? : )

Sunday, November 10, 2013

ordinary day.

salam alaik.







just another ordinary day. : )

Sunday, November 3, 2013

persepsi dan impresi.

salam alaik.

aku teringat pada satu ketika sewaktu di sem satu dulu , aku duduk di sebuah meja bulat bersama pelajar-pelajar tempatan mendengar lecture untuk subjek thermodynamics. di sebelah kiri ku , ialah seorang pelajar yang rapi gayanya. baju kemas , buku lengkap , file tersusun penuh note. tampak sekali gaya seorang pelajar. dan di sebelah kanan aku pula , ialah seorang gothic. gaya sikit punya my chemical romance dengan tindik penuh di bibir dan kening dan telinga ,bertatu, berbaju singlet hitam dan berseluar kusam .

maka lecture pun bermula dengan lecturer mengarahkan setiap meja berbincang sesama sendiri untuk selesaikan soalan thermo di depan. sejujurnya , aku memang tak faham sepatah apa tentang thermo pada waktu itu , konsep datang lecture ialah "untuk tahu , apa yang kita tak tahu" , jadi bila lecturer suruh berbincang , aku bisukan diri aja. cuma kadang-kadang aku menoleh kiri dan kanan , cuma berinteraksi.

orang kata , cuba ambil bahagian .

* * *

bermulanya sesi berbincang , Aussie di sebelah kiri aku yang penuh rapi persediaanya tadi cuba cuba untuk mencoret sesuatu. aku apa lagi , memang langsung tak pandang mamat gothic di belah kanan tadi , aku cuma berinteraksi dengan mamat di sebelah kiri tadi. tak mungkin aku nak berinteraksi dengan mamat gothic itu ,sudahla gaya bukan seorang pelajar,dengan tatu penuh .memang tidak mungkin untuk aku berbincang dengannya,perbincangan kami baru bermula lima minit , dan selepas itu , mamat kiri tadi hanya menghentak pen ke meja dan mulai bosan. meletakkan dagu di meja , dan mengeluarkan telefon bimbit.

aku diamkan saja , nak kata cuba menjawab , memang langsung aku tidak tahu. kami berdua terarah pula melihat mamat gothic yang penuh tindik dan celak tadi. dan waktu itu , aku terkesima.bersungguh sangat dia menjawab , diminta pinjam buku mamat di sebelah kiri tadi lalu di belek-belek , selepas seminit dua , dia bertanya pula pada kami tentang soalan itu. dia langsung tidak duduk diam. mulut terkumat kamit cuba mengingat formula, dan mata penuh tajam , dahi berkerut dan jari menari-nari. selepas beberapa minit , dia mengangkat tangan memanggil tutor , dia meminta pendapat dan tips untuk menjawab pula. beredarnya tutor , dia membelek buku lagi . dia ajak kami untuk berbincang dan selepas beberapa ketika , soalan itu dapat dijawab.

* * *

aku ketika itu hanya terpaku. terpaku dengan mesej yang tuhan beri pada aku , hari itu. lebih bernilai mesej itu dari input thermo yang memang dari awal tidak langsung ku faham. kita , manusia. mudah sangat tertipu dengan impresi pertama. kita gemar untuk menghukum terlalu awal . kita gemar untuk menilai berdasarkan luaran. kita gemar melompat masuk dalam bulatan penghukuman.

aku kadang-kala terfikir , kita gemar untuk menilai seseorang pada pandangan pertama , tentu sekali orang lain juga menilai kita pada pandangan pertama mereka juga.bukan? aku tidak sesekali mengatakan bahawasanya impresi pertama tidak penting. manakan mungkin tidak penting. adakah sebuah company mampu meletakkan kepercayaan pada calon yang bajunya compang camping dan tidak bersedia?

tentu sekali tidak.

tetapi berbalik pada kisah mamat gothic dan si mamat rapi tadi , salahnya aku ialah kerana aku terus menghukum mamat gothic tadi sebagai seorang yang tidak bersedia sedang yang mamat rapi tadi pula "nampak seperti bersedia" . dan , terkabur lah mata ini .

ya , first impresi penting . tetapi salahnya kita , manusia ialah kerana terlalu mengagungkan first impresi sehingga kita terkhayal dengan "balutan luar" itu saja , dan langsung selepas itu , kita takut untuk mendekati mereka , kerana kita rasa mereka akan membawa kita ke jalan negatif.

* * *
bergaul lah dengan semua orang , setiap susuk tubuh itu sudah tentu ada baik dan buruknya.jika kita memilih untuk tidak bergaul , seolah kita meletakkan diri kita di satu tahap yang mana kita merasakan diri kita "sudah baik".mamat gothic tadi pun ada buruknya juga , dan mamat bersikat rapi tadi pun , ada baiknya juga.

kerana kita ini namanya manusia. ada tambah dan tolaknya. kan? :)

"jangan cepat menghukum , dan jangan terlalu cepat menilai"

p/s : peringatan untuk diri sendiri juga.

Saturday, November 2, 2013

buku dan analogi .

salam alaik.

"bezanya kita dengan sebuah buku , ialah kerana kita masih mampu , untuk menulis pengakhiran kita sendiri.kita masih mampu menukar titik noktah , dan kita masih mampu memanjangkan helai-helai muka surat kita sendiri."

* * * 

hari itu , tertakdirnya aku untuk melangkah masuk ke sebuah kedai buku.perasaan itu aneh sekali , kerana aku bukan lah seorang penggemar buku , apatah juga pembaca sejati. dalam ruang sempit kedai itu ,kelihatan terduduknya seorang gadis penuh khusyuk membelek-belek helaian-helain muka surat dari sebuah buku . tenungannya tajam. tepat pada abjad-abjad. tentu sekali dia begitu teliti dengan isi perut buku tadi. ditutupnya buku itu ,lalu diambilnya buku lain dan dibelek-belek helai-helaian buku itu ,dengan mata menyusur memandang dinding , melakukan kira-kira mudah.adakah buku itu mahu dibeli atau tidak.

walaupun bukan pembaca ,aku suka suasana di kedai buku. deretan abjad-abjad tersusun dan suasana sepi itu , sungguh melengkapi. aku lebih gemar melihat bagaimana kreatifnya seorang designer berfikir untuk menerbitkan sebuah cover buku yang mampu membuatkan orang jatuh hati , dan kadangkala terpahat, tanpa perlu dia membelek isi dalam.

semakin hampir aku ke hujung , di sudut kecil itu , kami saling menyapa.

* * *

"mencari buku juga ya? , buku jenis apa yang awak suka?" - tanya dia kepadaku.

"ehh tak. saya kurang gemar membaca buku. cuma suka tengok cover depan. kadang-kadang kalau cover depannya cantik , boleh jadi terbeli juga buku tu kan?haha" - balasku dengan ramah.

"oh , haha.ada juga begitu. berbeza dengan saya , saya tak tengok pun cover depan , yang penting content di dalamnya ," - balas dia.

dia masih lagi tekun membelek-belek beberapa buku yang digenggam di tangan. sedang aku pula menghabiskan masa hanya menjamu mata dengan melihat kekreatifan halaman depan buku.

* * *

jawapannya membuatkan sebuah soalan terpacul keluar dari celahan otak.

"eh cik , tumpang tanya.macammana cik tahu buku yang cik nak beli ni bagus dan berbaloi? " -

"oh . biasanya saya akan membaca beberapa helaian depan , kalau helaian depannya nampak ok , biasanya buku tu berbaloi di beli "

"tapi macammana cik nak tahu yang lepas beberapa muka surat , buku itu masih lagi berbaloi dibeli? " 

" kalau macamtu , kena baca review la , itu pun ada review yang baik dan buruk. boleh jadi orang lain suka , orang lain tak suka "

melihat perlakuannya ,aku membuat konklusi bahawa memilih sebuah buku random untuk dibeli bukanlah satu perkara yang mudah. kita akan melaburkan segenggam wang untuk itu , dan semestinya kita mahu memilih yang terbaik dari deretan buku yang tersusun bercumbu lantai dan syiling itu.

"kalau cik dah beli buku tu , lepas cik dah baca habis dan tak suka , cik rasa rugi tak bayar? "

"mesti la rasa rugi , tapi somehow ,kita kena appreciate,bukan mudah untuk satu buku dikarang dan takkan dalam sebuah buku , satu benda pun kita tak boleh belajar .rugilah macamtu "

"jadi , berbaloikah saya untuk beli satu buku random , yang saya langsung tak pernah tahu mengenainya? "

"cubalah , atleast kita cuba untuk membaca. boleh jadi buku tu jadi favourite kita."

"tapi kalau tak best , rugilah? "

"kamu lebih rugi jika tidak berani mencuba."

dihujung jalan , semua kembali kepada pilihan kita.

* * *

kita dan buku sebenarnya ibarat satu analogi mudah . kita juga berwajah. seperti juga muka depan buku.masing-masing punya wajah berbeda. dan manusia-manusia luar mudah untuk melihat dan menghukum kita ,atas fizikal kita. mudah saja dilantun kata-kata kerana fizikal kita , walaupun mereka masih belum lagi sempat membelek-belek karakter dan personaliti sebenar. ada beratus lagi muka surat yang belum mereka baca tentang diri kita , tetapi awal-awal lagi , boleh jadi kita ini menjadi kesukaan , atau penghinaan.

di balik tabir "front cover" itu lah , tertulis bermuka surat tentang diri kita. ada yang takut untuk berkenalan dengan kita sejak awal-awal lagi , ditutupnya kita , dan diletak kembali di rak-rak kehidupan. ada juga yang membaca beberapa helai muka tentang diri kita , lalu terus saja terdetik perasaan suka .tidak lupa mungkin juga terdetik perasaan benci. halaman-halaman berikutnya selepas helaian awal itu terus ditinggalkan. terus di"beli"nya kita , dan dipimpinnya kita balik kerumah , dengan harapan , selesainya kita "dibaca" , muka surat penamat nanti ialah pengakhiran bahagia.

* * *

dalam kaca realiti , tidakkan mungkin kita mampu untuk memuaskan hati segenap sudut pihak. di setiap penjuru badan , kita diperhati . kita dikaji baik dan buruknya . kita ibarat diberi "review" seperti juga review-review buku di goodreads.

" bagus buku tu ,beli la ,aku jamin kau tak menyesal punya ,ramai dah baca, ramai yang suka " 

"buku tu tak best langsung , baca part depan pun dah bosan , rugi rugi"

tetapi percayalah , takkan mungkin sebuah buku yang secantik mana tulisannya , mampu puaskan hati semua pembaca. begitulah juga kita , semampu mana pun kita cuma untuk memuaskan hati semua , takkan mungkin kita berdaya. sungguh. takkan ada kudrat.

tapi percayalah , di setiap batang yang terbonjolnya duri-duri tajam , pasti adanya bunga. kenapa perlu menggenggam yang sakit sedang kita boleh menghayati yang manis?

* * *

bezanya kita dengan sebuah buku , ialah kerana kita masih mampu , untuk menulis pengakhiran kita sendiri.kita masih mampu menukar titik noktah , dan kita masih mampu memanjangkan helai-helai muka surat kita sendiri. tidak seperti semua buku-buku , yang sudah ada akhir. yang sudah tamat riwayat. yang sudah mati. sebelum dibeli.

* * * 

buku itu , kita. pilihan kita. ambil lah pensel , dan coretlah sepuasnya. kerana , buku itu. kita . pilihan kita.

p/s : lokasi : Bent Books , West End.
p/s : kisah separa sebenar. dengan watak sebenar :')

Wednesday, October 30, 2013

it's the time.

salam alaik.

I guess it's the time to walk away , with the memories.

* * *
sayonara.

Tuesday, October 29, 2013

officially a pakcik.

salam alaik.


aku akhirnya bergelar "paksu" hari ini. :') saat mesej si abang hinggap di telefon , aku sedang sibuk mentelaah buku di perpustakaan . dan saat wajah comel ini muncul di skrin telefon , perasaan yang luar biasa membunga di hati.

sebak. kerana orang pertama yang diingat ketika melihat wajah bayi comel ini ialah arwah ibu.jikalah dia masih ada , tentu sekali dia tersenyum gembira. :')

* * *

terus saja teringat wajah ibu. terus. automatik. terus saja teringat wajah ayah. dan terus terbenak dalam dada , bahawa cepat sungguh masa berlalu , dulu aku didodoi , sekarang aku pula yang boleh mendodoi.

sebak. teruja. gembira. sedih.

semuanya ada.

* * *

terima kasih kerana perasaan ini ya tuhan. : )




Monday, October 28, 2013

coffee.

salam alaik.

that coffee ,
is not for everyone.

yap. that Large flat white coffee with one tea spoon of sugar.

* * *

i hope you know.
:)

Saturday, October 26, 2013

#2

salam alaik.

angin sejuk yang bertiup di atas feri kecil itu ,  percik-percik air yang bermanja-manja , tidak lupa bintang-bintang malam yang tak padam menjadi lampu ,

membuatkan aku merasa kosong yang sudah lama bersawang . sudah mulai pergi.

* * *

parfaayyyy. nasib betul sebutannya xD

perginya kosong itu , diselit hadirnya sebujur tubuh. yang makin hari makin berbunga.

:')

Thursday, October 24, 2013

#1

salam alaik

moga hati kekal tenang. setenang air-air yang mengalir.


p/s : ops , ya. terfollow cara kamu menghashtag post. kikiki.

Tuesday, October 22, 2013

the beauty of Brisbane.

salam alaik.

jadi hari ini seperti biasa aku akan berbasikal di petang hari, membuang lemak-lemak , menambah stamina sambil memerhati bumi orang yang dipinjamkan pada aku, hanya empat tahun.

aku suka suasana di sini , tenang. Brisbane masih sebuah bandar besar , tapi di sub-urb nya , keadaan sungguh tenang , tiada kesesakan , udara segar , kiri dan kanan penuh hijau dan tak langsung menyerabutkan kepala.

* * *
jadi hari ini aku berbasikal ke Fairfield. part yang paling aku suka bila mengayuh ialah kita boleh pandang kiri kanan , boleh selongkar tempat baru , yang tak ramai orang explore dan tahu.

dan ini yang aku jumpa.








lepas beberapa kilometer mengayuh , aku terpandang satu tanah lapang dan ada dua tiga ekor kuda yang jinak. lalu aku berhenti seketika. sebab tu aku suka berbasikal di sini. it's really ideal place to ride a bike !

and ya,kuda-kuda ni jinak sangat ! haha. ,I love the scenery and I love the environment. and maybe that's why I found Brisbane is a really good place to live , or maybe migrate one day? : P

haruslah satu gambar. hihihi.


aktif.

salam alaik.

saya lebih aktif di sini.


hot spring it is.

Monday, October 21, 2013

saat-saat jatuh.

salam alaik.

aku tahu betapa sakitnya rasa , bila kita jatuh dan tersungkur lesu.  lebih parah bila kita rasa kita tidak mampu lagi bangun , untuk kali yang seterusnya. kita akan termenung , menarik selimut dan hanya memejamkan mata , terpaku dan terkedu , dan kadang kala menepuk pipi , untuk keluar dari mimpi , dan selepas beberapa tamparan yang membuatkan pipi kita merah , baru kita sedar yang rupanya kita menghadapi realiti bukan mimpi.

saat-saat jatuh , biasanya saat-saat dimana kita akan merasakan kekosongan dalam diri. ibarat sesuatu ditarik dari badan, dan sakitnya itu , kita sahaja yang rasa. kita boleh saja berkongsi dengan orang lain ,tapi tetap sakitnya itu , kita saja yang rasa.

saat-saat jatuh, ialah saat-saat yang sebenarnya membuktikan , tuhan sayang pada kita. di benak kecil hati ini, akan terpacul satu tarikan yang akan sayup-sayup bersuara,

"wahai hati , carilah kembali tuhan , kau jauh sangat dari dia , bagaimana mampu kau berlagak kuat disaat kuat itu empunya si tuhan?"

--------------------------------------------------------------------------------

saat-saat jatuh , ialah saat-saat sukar, tapi sukar itu tidak lama , percayalah.
percayalah wahai hati.
percayalah.


terima kasih pada yang selalu ada , waktu waktu jatuh, dan susah. : )

because of you.

salam alaik.

because of you.
im here.
will continue writing on this blog.
again.

ya.
because of you.
:)

it's spring now in Brisbane.
-------------------------------------

thank you Allah.

Tuesday, August 13, 2013

First Video.

salam alaik.

eheh. dah ada video dalam youtube. 

* * * 

Merewang : Behind The Scene , 

rakaman perihal budak-budak muda potong bawang , buat nasi impit dengan berbekalkan stapler dan plastik , serta perihal vacuum rumah yang berkarpet ,tidak lupa scene tengok Amri Yahyah skor lawan Barcelona. thanks semua yang datang rumah terbuka anjuran bersama haritu. video ini tribute untuk team-team rewang semua. 


bye !

Monday, August 12, 2013

lesson of the day.

salam alaik.

hari aku sedar satu perkara , iaitu kalau aku asyik selalu takutkan apa orang lain kata , terlalu takut dengan pandangan orang lain.sampai apa yang aku nak buat , tidak langsung ada peningkatan , tidak ada langsung tambah baik ,

aku akan tak pernah kemana.

* * *

selamanya.


Friday, August 9, 2013

lebaran.

salam alaik


okey. dah raya. but then , apa yang dapat disimpulkan ialah memang tidak ada suasana yang semeriah di tempat sendiri . takbir raya kat sini pun lain , takda pun dilafaz bersama-sama , beramai-ramai , ya. different. totally different.

senang cerita , raya di sini , sifatnya sederhana. tapi dalam sederhana itu , masih terpacul kegembiraan.

anyway ,

Selamat Hari Raya. : )

Thursday, August 8, 2013

Salam Aidilfitri.


nak wish banyak-banyak pun tak boleh , sebab aku masih berpuasa di sini : ) syawal tiba lewat sehari.

selamat berbahagia semua.

Tuesday, August 6, 2013

How to never give up.

salam alaik.


benda baik , bulan baik , tak salah share kan.

Saturday, August 3, 2013

rambut memanjang , di potong , dan memanjang semula.

salam alaik.

rambut yang bagi aku dah panjang , dan bagi orang lain , ini tahap "rambut pendek" mereka.

pernah korang terfikir tentang perihal rambut memanjang , di potong , dan memanjang semula?waktu aku rilek-rilek minum nescafe tadi , aku sempat belek-belek gambar-gambar sebulan lepas , gambar bercuti orang kata,gambar dekat tepi pantai , tepi gunung , tepi laut , gaya-gaya oversea orang kata ,dan aku sedar dalam gambar-gambar ini , aku berambut panjang (walaupun taklah panjang mana ).sekarang , dihadapan gelas nescafe juga , aku sedar rambut aku dah pendek semula dan aku terfikir satu perkara simple. tempoh antara rambut kita memanjang ,dipotong dan memanjang semula bukan la selesai dalam masa satu hari .kita semua tahu yang ketiga-tiga proses ini perlukan masa, dan bukan terjadi dalam sekelip mata.

sebenarnya dalam proses rambut memanjang, di potong , dan memanjang semula ,sedar tidak sedar sebenarnya banyak benda yang berlaku,banyak perkara kita tempuh , dan banyak benda yang kita lalui.dan bagi diri aku , aku merasakan tempoh antara "rambut aku panjang , dipotong dan memanjang semula"  yang lalu ialah tempoh yang sebenarnya boleh dibaiki.aku terasa satu pembaziran.mungkin bukan secara total.tapi boleh dibaiki.mungkin kini aku perlu lebih menghargai "saat-saat rambut memanjang" itu dan tak biarkan ia di potong selepas ini , tanpa ada apa-apa perubahan.

sebab itu rambut manusia , memanjang , dipotong dan kemudian panjang kembali. nampak tak berapa kali tuhan beri kita peluang untuk ubah diri? dan bila masa mula berlalu , rambut kita yang dahulunya boleh memanjang , dipotong dan panjang kembali mula memutih , gugur , tidak lagi tumbuh. dan kita semua tahu apa maksudnya perihal itu.

jadi sama-sama kita berubah.

p/s : what if dia bela rambut dan tak potong-potong ? 

Saturday, June 8, 2013

autumn.


musim luruh di Brisbane. mungkin gambar-gambar daun gugur akan banyak ditangkap selepas exam nanti.

* * *

ok. chow.

Tuesday, June 4, 2013

exam mode.

salam alaik.

ok. aku dah masuk fasa exam.

* * *

ok. itu saja.

ok. bai.

tak boleh tulis banyak-banyak , nanti kena tangkap bawah akta hasutan.


Thursday, May 23, 2013

bahan ketawa.

salam alaik.

melihat manusia sanggup bertumbuk , bermandi kata-kata kesat dan berlagak iras-iras sarip dol hanya kerana satu perlawanan bola sepak ialah antara perkara yang menggelikan hati aku hari ini.

geli hati melihat betapa level kedangkalan manusia sudah jauh kedepan dan maju seiring dengan pelancaran samsung S4 .

* * *

teknologi makin maju kedepan , perut makin boyot ke depan , usia makin tua , tapi otak lagi kanak-kanak dari kanak-kanak.

malu la weh. malu .malu. kalian duk bertumbuk luar stadium nak pertahankan tim masing-masing , yang berader2 player yang berlainan tim tadi padahal esok lusa rilek je lepak kedai kopi order teh o ais , sambil-sambil hisap rokok. walaupun melepak di kedai kopi , order teh o ais bukanlah perkara yang salah. nampak?

bila dorang tengok surat kabar(selain utusan malaysia) kot-kot ada berita pergaduhan korang yang maha epik , boleh jadi makin kelaut lagi dorang main lepas ni. kalau nak lagi sedap , aku ada cadangan untuk "hooligans" wannabe ini . letak diorang yang tengah sedap duk bertumbuk tadi dalam kandang singa , kita tengok siapa "tumbuk" siapa.

* * *

mungkin ayat aku nampak kasar , tapi pendirian aku simple , orang yang selesaikan masalah guna kekerasan atau kekuatan fizikal , ialah orang yang bodoh.

sekian.

Sunday, May 12, 2013

memori.

salam alaik.


----------------------------------------------------------------------------------------
"my mother , had she been alive , might have found a way through to me because she was always good at that , taking my arm and saying, "come on,Charley.what's the story?" But she wasn't around , and that's the thing when your parents die , you feel like instead of going into every fight with backup ,you are going into every fight alone" - Chuck Benneto.

* * *
and that's the thing when your parents die , you feel like instead of going into every fight with backup ,you are going into every fight alone.
* * * 
and that's the thing when your parents die , you feel like instead of going into every fight with backup ,you are going into every fight alone.
* * * 
and that's the thing when your parents die , you feel like instead of going into every fight with backup ,you are going into every fight alone.


-----------------------------------------------------------------------------------------

al-fatihah untuk ibu. tidak banyak untuk ditulis hari ini.kerana tangan tidak mampu menulis apa-apa.

* * * 

terlalu emosi barangkali.

oh ya. selamat hari-hari hari ibu.

Monday, May 6, 2013

negaraku.

salam alaik.

*post ini panjang , terima kasih pada yang sudi membaca sehingga habis.

"hidup kalau penuh prasangka , nak bangun tidur pun tak boleh , kerana boleh jadi kita bangun tidur dengan berprasangka , kita hensem , tapi sebenarnya kita tidak"

saya seorang Melayu , dilahirkan di bumi bernama Malaysia. sejak dibangku sekolah lagi , saya sudah mengerti bahawa negara tempat saya dilahirkan bernama Malaysia ini bukan dihuni Melayu sahaja. kerana ketika saya bersekolah rendah dan menengah , saya mempunyai ramai kawan-kawan Cina ,dan juga India.

di sekolah , kami diajar dengan aspek-aspek perpaduan.kami diminta bersyukur kerana di bumi bernama Malaysia ini , masyarakatnya majmuk , ada banyak kaum lagi-lagi di Sabah Sarawak.Kalau tiba bulan kemerdekaan ,mesti ada pertandingan melukis poster dan mewarna , dan dalam lukisan kami ketika itu , mesti ada seorang Melayu , Cina dan India , dalam lukisan itu juga , semuanya dalam keadaan senyum , orang kata aman sekali.

Saya ada kawan cina yang sangat rapat ketika di sekolah menengah ,Mo Shuen Yu namanya. kami duduk sebelah menyebelah ketika di tingkatan dua.dan pada kami , tidak ada istilah kamu bangsa cina ,aku bangsa melayu , kerana kita makan nasi lemak sama-sama ,dan kita orang Malaysia.setiap hari kami berkongsi cerita,belajar bersama-sama,gelak sama-sama.saya  ingat lagi bila dia mengatakan "untunglah kamu Anas ,dilahirkan sebagai orang melayu , senang dapat masuk universiti , banyak orang tolong , kami orang Cina kena usaha keras dari kecil , sebab itu woo orang cina sangat-sangat strict bila buat bisnes , sebab kami takda dapat bantuan woo , semua kena berdikari. " terkesan juga ayat itu kepada saya.kadang-kadang saya simpati pada mereka.

dia pula datang dari keluarga Cina yang sederhana ,bukan Cina up-up yang kaya. bercakap bahasa Melayu fasih dan tahu sejarah Malaysia.setahun duduk dan bersahabat dengan dia , kurang jurang perkauman antara kami. saya tidak menafikan di sekolah, ada juga perangai bangsa Melayu dan Cina yang rasis. orang-orang bodoh sebenarnya berada di mana-mana. ada juga rakan cina saya yang tidak berapa sukakan Melayu.dan ada juga rakan Melayu saya yang tidak sukakan Cina.tapi biasanya golongan begini muda saja dikesan di sekolah-sekolah ,jenis golongan yang bawa beg sekolah sekadar untuk mengisi angin. pergi ke sekolah sekadar untuk memakan angin. dan mungkin membuang angin.

selepas diteliti , saya faham benar kenapa sentimen ini wujud . mereka seolah-olah cemburu melihat bangsa saya sudahlah dapat bantuan , pun tidak digunakan sebaiknya. tetapi ada juga yang entah kenapa rasisnya. seperti yang saya sebut , orang bodoh berada dimana-mana. saya juga ada seorang rakan India yang sangat saya rapat ketika di sekolah menengah , Suresh Arjunan namanya. kami berjalan ke sekolah bersama-sama setiap hari, buat homework sama-sama , ya.senang cerita hubungan kami sangat rapat.tetapi rapatnya hubungan saya dengan bangsa lain , akrab mana pun kami , akan terlerai juga di kandang politik. se"melayu" mana pun rakan cina saya tadi , dah katakanlah tahap melayu-nya itu lebih melayu dari seorang remaja Melayu yang hari ini dah kelaut meneguk arak dan sakan berdisko , percayalah , terputus juga ikatan itu di medan politik.

* * *

dalam konteks politik , saya masih merasakan politik di Malaysia ialah politik perkauman . politik di mana , orang Melayu mesti undi orang Melayu , dan orang Cina mesti undi orang Cina. orang Melayu yang jenis mengundi calon Cina , itu namanya pengkhianat dan penjual bangsa Melayu. sejak saya kecil hingga lah besar , setiap tahun saya didodoikan dengan suntikan perpaduan . (baca perpaduan palsu) dimana ada iklan-iklan muhibah , ada kempen-kempen dan program-program agar kita yang berbilang bangsa ini saling mempercayai dan bekerja sama untuk memajukan negara.saling membantu dalam kesusahan dan bersama-sama setiap masa.

tetapi sebenarnya , apa yang berlaku ialah palsu belaka. orang-orang melayu di Malaysia rata-ratanya takut dengan kuasa politik orang Cina.ketakutan itu dibina dari hari ke hari ,dan dari segenap segi.walaupun ketika kecil , kita bersahabat , kita berkawan dengan orang cina ,tetapi dalam konteks politik,orang Melayu majoritinya berpegang kepada kaedah " kau nak negara ni hancur dan dijual dan jadi macam Singapura , kau undilah cina terutamanya DAP" .dalam politik Malaysia , haram untuk orang Melayu menyokong orang Cina , kerana orang Cina ini sebaik mana pun dia , dia ada agenda tersembunyi. orang Melayu hendaklah bersatu .jangan ada Umno , jangan ada Pas. cukup satu parti untuk menjaga orang Melayu dan untuk menentang agenda tersembunyi orang Cina. (walaupun parti majoriti cina tu bertanding suku dari keseluruhan jumlah parlimen) .

dalam konteks politik Malaysia juga ,pemikiran rakyat Malaysia rata-ratanya masih sama iaitu ,hanya orang Cina boleh jaga orang Cina ,hanya orang Melayu jaga orang Melayu dan orang India jaga orang India.jika seorang Melayu mengundi calon Cina yang bagi dirinya adil,amanah dan boleh membantu masyarakat berbilang bangsa di kawasannnya, tindakannya itu salah , kerana ingat ! orang cina ini ada agenda. oh maafkan saya , orang cina beragenda ini ialah dari parti DAP. jika cina itu dari calon MCA atau Gerakan , mereka tiada agenda rahsia .


tetapi tidakkah perkara ini sangat kontradik dengan apa yang kita belajar di sekolah? hidup kita terlalu banyak prasangka kaum.Jika sebagai contoh rakan Cina saya di sekolah menengah tadi menjadi calon dan saya mengundinya kerana saya kenal peribadinya , sudah tentu saya di cop pengkhianat orang Melayu , kerana tidak ada dalam kamus orang Melayu "bangsa lain boleh juga jaga kebajikan kita" .langsung. tidak ada. orang Cina pun majoritinya begitu juga , perkara yang sama.

* * *

habis orang melayu takda agenda tersembunyi ? sudah semestinya ada. agenda yang baik-baik seperti mendaulatkan Islam,memastikan anak-anak melayu terjaga akhlaknya,memastikan kaum Melayu tidak malas dan buncit disuntik bantuan dan sebagainya,tetapi ada juga agenda Melayu lain yang dibawa.

agenda sesetengah orang Melayu yang lagi power mudah saja , iaitu agenda mengkayakan kroni , anak dan bini , sambil memastikan rakyat rilek-rilek saja sambil hirup kopi di petang hari sambil berkata "bersyukurlah negara ni aman ,takda peperangan".tapi agenda-agenda berbahaya sebegini orang Melayu kita taknak ambil port sangat , sebab kita lebih ghairah menghalang agenda tersembunyi orang Cina yang digemburkan.

* * *

matematik disini mudah aja.tidak semua Melayu itu baik , tidak semua Cina itu teruk , tidak semua Melayu yang kita angkat itu amanah , dan tidak semua Cina yang kita ketepikan itu beragenda buruk.tidak semua Melayu itu teruk , dan tidak semua Cina itu adil.dan kita juga tidak boleh memilih untuk dilahirkan sebagai bangsa apa.

ayat "tidak semua" ini sungguh powerful sekali. kerana ianya bermaksud , semua orang boleh jadi baik atau buruk , tanpa perlu lihat pun dia lahir dari kaum apa.

menjelang 13 Mei kira-kira beberapa hari lagi ,saya perhatikan makin kuat bertiup khabar-khabar angin perbalahan kaum. ya tuhan , dangkalnya manusia.bagi saya percikan-percikan sebegini memang dirancang menjelang 13 Mei. saya dapat rasakan.bagi saya , bertiupnya berita-berita seperti ini langsung tidak menyelesaikan masalah. malah mengeruhkan lagi. dari kejauhan , saya hanya mampu menggeleng kepala.nasihat saya , jika percikan-percikan api perkauman yang tidak sahih , mohon jangan disebarkan sewenang-wenang. media sosial sekarang , lagi laju dari dari KTM(itu semestinya) , jadi jangan burukkan keadaan.

percayalah seruan api-api perkauman ini hanya kerja orang-orang berkepentingan yang tidak bertanggungjawab. apa niat mereka? cuma tuhan saja tahu. jika anda mengalami provokasi , atau melihat provokasi , bertindaklah dengan waras dan matang , kerana sekali kita termakan mainan provokasi , maka buruk di akhirnya nanti.

saya mahu perpaduan sejati. di mana kita boleh jaga sesama kita. tanpa ada prasangka bangsa sama sekali. sudah 55 tahun merdeka , masih tetap terpisah. oh sedihnya Malaysiaku.

tolong bunuh perkauman. humban dalam laut paling dalam.

sekian.
seorang anak Malaysia yang rindu Nasi Lemak.

8.48pm
St Lucia , Brisbane.

melayu apatah lagi. *credit : HilalAsyraf


Friday, May 3, 2013

kalau dah buta tu buta juga.

salam alaik.


kalau orang yang dilahirkan sebagai Melayu-Islam rasa iklan kat atas ni tak mende-mende , aku hanya mampu geleng kepala.

aku.tak tahu nak cakap apa dah.

* * *

"a vote for DAP = a vote for PAS"

maksudnya , jangan undi DAP . sebab undi DAP sama juga undi PAS.slogan ini memang sengaja dibuat untuk menakut-nakutkan pengundi cina dengan parti PAS , menakutkan orang cina dengan bahaya yang mereka akan dapat kalau sokong PR.orang cina tak boleh berhibur ,tak boleh itu , tak boleh ini.supaya orang cina tak undi PR yang terkandung dalamnya parti PAS.

maaf.tetapi majoriti orang cina tak pernah makan pun permainan macamni. rakyat malaysia nak politik matang . politik hujah. politik idea.

* * *
yang aku nampak sekarang BN main politik ketakutan. politik ancaman. politik prasangka. jangan undi pas , nanti ...... habisla... jangan undi dap nanti ....habisla... idea kamu mana idea kamu?bahkan semua prasangka ini sudah dijawab pun sebenarnya.

* * *

jadi apa yang aku cuba stresskan sebenarnya ni?

"kalau kau biarkan media senang-senang memijak-mijak kepala kau"

aku hanya mampu menggeleng kepala.

Thursday, May 2, 2013

pesanan hari ini.

salam alaik.

ayah aku banyak kali berpesan , hidup tak kaya tak apa , cukup biasa-biasa. janji jangan buat aniaya pada orang. nak hidup kaya boleh , tapi jangan buat seleweng dan aniaya pada orang.

sebab ayah aku pesan , setiap kali kita buat aniaya pada orang , buat seleweng dengan amanah yang kita dapat , kesan negatif perbuatan itu akan datang selubung kita slow-slow di kemudian hari.

hidup tak tenang. mati apatah lagi.

* * *

"bahagia dalam kehidupan , tanpa ada serabut dan masalah."

* * *

mungkin itu maksud sebenar utk perkataan "mewah" .

mohon Dewan Bahasa dan Pustaka buat kerja.baru rebel.


Friday, April 26, 2013

Im back.

salam alaik.

lama sangat tidak menulis di sini. ya. sangat lama sebenarnya. aku sebenarnya berada pada satu tahap di mana , aku ada banyak sangat benda yang nak ditulis , banyak perisitiwa , banyak perkara baru, tapi oleh kerana bahan yang nak ditulis itu terlalu padat dan mampat ,

akhirnya tak tertulis. ada ayat lain yang lebih dekat dengan masyarakat kita.iaitu malas.hihi.

* * *

pada ketika ini , aku merasakan aku hanya akan menulis bila perlu. sungguh. sejak aku menulis secara suka-suka di blog ini seawal ketika di tingkatan empat sehingga kini umur aku sudah 21 tahun , niat aku menulis telah melalui satu proses evolusi. begitu juga cara dan corak penulisan.

ini post 5 tahun yang lepas , waktu aku Form 4. font warna-warna bagai. ejaan kelaut.memang lame.

kahkahkah. bila aku scroll balik archive lama-lama ni , rasa nak lempang jugak muka ni.tapi itulah evolusi , manusia akan sentiasa berubah mengikut zaman , takda manusia yang statik pada satu tahap dan tak berganjak-ganjak.

* * * 

dan haruslah berdoa supaya benda-benda yang berubah dalam diri ini ,ialah perubahan yang lebih baik.

* * * 

aku dah lost aku nak tulis apa. barai barai.one random quote ,

"we dont need transformation , we need reformation! "

ini kali lah ! 

Friday, April 5, 2013

Ini Kalilah Tukar !

salam alaik.

gambar hiasan.

moga-moga kerajaan yang baru dipilih nanti ialah kerajaan yang terdiri daripada rakyat biasa ,yang bukan dari golongan-golongan elitis yang tidak pernah faham apa yang dirasai orang bawah.moga-moga yang dipilih itu bercakap seperti rakyat biasa , yang makan makanan biasa-biasa , yang merasai keperitan orang biasa dan yang hidup seperti orang biasa.

kami tidak perlukan pemimpin yang hanya duduk atas kerusi empuk dan hanya pandai mengaut kekayaan juta-juta. kami perlukan pemimpin dari rakyat biasa !

Ini kalilah tukar !

Saturday, March 30, 2013

Easter Trip.

salam alaik.

Gold Coast
Surfers Paradise
Movie World
Sea World
Water World.

* * *

ok la kan untuk first timer untuk mengenali kawasan-kawasan sekitar dan menjadi tour guide di masa akan datang.kan? haha.

oh ya.

* * *


terima kasih kepada MASCA Media Team of Queensland kerana sudi memberi ruang dan peluang .atleast dapat juga aku ber-aktiviti macam selalu.

p/s : MASCA stand for Malaysian Student Council of Australia.

Tuesday, March 26, 2013

Brisbane in Black and White.

salam alaik.

gambar-gambar di Bandar Brisbane . dalam hitam dan putih.

camera : Fujifilm x100













Monday, March 25, 2013

nescafe ais. #2

salam alaik.

semalam buat pertama kalinya hati aku berdegup kencang sambil membayangkan scene-scene cerita natural disaster.

bukan apa , semalam ada ribut apa kebenda entah singgah dekat Brisbane.

* * * 

dia punya angin bukan main kuat. tapi aku rasa kalau budak-budak yang dah biasa dengan bencana ni mesti akan cakap ,

"eleh , sikit je tu , biasa teruk lagi , rilek sudah"

dude , yang kau nak bangga dengan bencana yang lagi power pernah kau lalui buat apa?

* * * 

aku tak ambil port sangat-sangat hal-hal bencana ni , nak bincang hal bencana pun tak senang tengok Najib takut-takut lagi nak bubar parlimen.

apa-apa pun ,aku masih tak jumpa lagi nescafe ais di sini.

Sunday, March 24, 2013

nescafe.

salam alaik.

kadang-kadang bahan penulisan yang bukan ditulis dari hati , yang bukan tertaip sendiri dan yang bukan terzahir secara ikhlas akan tetap menjadi bahan bacaan.

tapi bahan bacaan yang hambar.

* * *

dan punca hambarnya penulisan aku di bumi asing ini ialah kerana ,

tiada nescafe ais.

* * *

ok.hambar.

Friday, March 22, 2013

reborn.

salam alaik.

sekarang.  aku boleh menulis semula.


dan aku rindu. objek di atas.

* * * 

Salam dari Brisbane. : )

Tuesday, February 19, 2013

safely arrived.

salam alaik.



selamat sampai di Brisbane pada 16 februari ,jam 8 waktu tempatan. ya. rasanya musim summer tak habis lagi tapi kat sini sejuk juga.sekitar 22 degree celcius. hujan tak habis-habis.

ya. aku still meng-adapt-kan diri dengan tempat ni. tak habis-habis selsema. budak-budak lain rilek je. aku rasa darah melayu sejati memang begini. hihihi.

second day dah kena culture shock. anjing tak dikenali rilek je masuk rumah. terkejut semua budak-budak berkain pelikat. kahkahkah. agak kelakar juga. dah biasa nampak kucing , tiba-tiba nampak anjing dalam rumah , ya, itu la culture-shock.

* * *

banyak nak dikongsi. mungkin di lain masa. thanks guys : )

Friday, February 15, 2013

final day.

salam alaik.

ya , the countdown is over. tommorow is a new beginning. there's not much word to say , because the feeling inside just cant be described. It's a strange feeling. I never feel the same feeling like this before, honoustly.

new world , but All I want is the same , old me.

Thursday, February 14, 2013

keep calm and pack.

salam alaik.

sayup-sayup. aku mula mengemas barang. dan sambil mengemas barang , aku pasang lagu ,


lalu aku karaoke sebentar.

* * * 

All my bags are packed I'm ready to go
I'm standin' here outside your door
I hate to wake you up to say goodbye
But the dawn is breakin' it's early morn
The taxi's waitin' he's blowin' his horn
Already I'm so lonesome I could die

So kiss me and smile for me
Tell me that you'll wait for me
Hold me like you'll never let me go
Cause I'm leavin' on a jet plane
Don't know when I'll be back again
Oh baby, I hate to go

There's so many times I've let you down
So many times I've played around
I tell you now, they don't mean a thing
Every place I go, I'll think of you
Every song I sing, I'll sing for you
When I come back, I'll bring your wedding ring

Now the time has come to leave you
One more time let me kiss you
Close your eyes I'll be on my way
Dream about the days to come
When I won't have to leave alone
About the times, I won't have to say

* * * 
phew. makin tak jadi aku kemas barang.

p/s : 1 day left.

Wednesday, February 13, 2013

salji.

salam alaik.

"awak , orang nak ikut awak ke sana . orang nak main salji jugak " - Amira

"eyh , Brisbane mana ada salji , panas la kat situ " - Anas

"alaaa , orang nak tempat yang ada salji.habis kat mana yang ada salji? " - Amira

" I-City kan ada.hihi? "- Anas

"........" -Amira

* * * 


I'll be missing you Nur Amira Syazwani :  )

Tuesday, February 12, 2013

flight confirmation.

salam alaik.

" percayalah bahawa mak pasti bangga dengan kamu .percayalah walaupun dia dah tiada , tapi dia mesti ingat kamu "

* * *

alhamdulillah.syukur ya Allah ,selepas bertahun dengan penat jerih dalam menuntut ilmu , selepas menghadapi  pelbagai jatuh dan bangun, Allah memberi aku peluang yang mungkin tidak dikecapi orang lain .Sabtu ini , 16 Februari , aku akan berangkat ke Brisbane , Australia untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Environmental Engineering di University of Queensland di bawah tajaan MARA.Mungkin aku tidak sedar , cuma tinggal beberapa hari saja lagi bagi sebuah impian yang selama ini hanya jadi mainan sebelum tidur , bertukar menjadi sesuatu yang realiti. ya , selalu sangat jadi mainan sebelum tidur.

sebelum ini , kerap aku terbaring di katil sambil membayangkan suasana di lapangan terbang , sejak di bangku sekolah lagi , aku mengimpikan sebuah suasana di mana pada hari tersebut , aku akan memakai pakaian yang cantik-cantik, menggalas beg dan memegang passport ,memeluk dan bersalaman dengan sahabat-sahabat , ahli keluarga , ayah dan tentunya ibu.

aku akan melambai turun dari eskalator itu dengan penuh keceriaan , dengan penuh senyuman , ke arah semua orang dan aku akan melangkah dan melangkah akhirnya bayang-bayang semua tidak lagi dapat dilihat. dan saat itu , aku tahu , bermulalah hidup di rantauan.

mungkin kerana angan-angan ini jugalah yang memandu aku selama ini.

* * *

ketika ini , tidak ada satu perasaan lain yang terbenak dalam hati aku. kecuali kesedihan.mungkin bagi kawan-kawan lain , mereka gembira dengan rezeki ini .tampak gembira dan ceria semuanya .tidaklah aku katakan aku tidak gembira.tentu sekali aku berdebar dan tentu sekali aku tidak sabar untuk berada di tempat baru.tetapi dalam diam? setiap kali aku membayangkan hari penerbangan itu nanti ,setiap kali itu jugalah air mata jatuh. jatuh terkenang seorang insan bergelar ,

ibu.



* * * 

sebagai satu-satunya anak yang masih belum berjaya dan bekerja , tentunya hati aku luluh memikirkan arwah ibu. anak mana yang tidak ingin membanggakan ibubapanya ketika mereka berdua masih bernyawa? ketika arwah mak sakit tenat sehingga tidak mampu bangun , makan dan minum dengan sendiri beberapa bulan lepas , aku selalu terfikir bagaimana agaknya nanti ketika hari penerbangan aku.bagaimana dia mampu menghantar aku di lapangan terbang kelak.dan bagaimana aku akan rela untuk melambainya pergi sedang dia melawan sakit yang amat sangat.apakah harus aku korbankan cita-cita ini , demi menjaga dia. dan aku sangat faham , apa erti aku di luar negara , bergembira sedangkan ibu di rumah terlantar tenat.

sesungguhnya rancangan Allah itu lebih baik.

* * * 

arwah mak selamat kembali ke pangkuan-Nya , dan moga-moga hilang semua sakit yang menyerang segala sudut badannya. dan ya , hati anak mana yang tidak runtun apabila sebuah berita gembira yang patut dikongsi bersama ibu dan ayah , tidak kesampaian .dan hari itu nanti , aku sedar , aku tidak mampu lagi memeluk dan mencium seorang yang bergelar,

ibu.

aku tidak dapat membayangkan hari itu nanti.sungguh. mungkin aku akan menangis. sudah hampir pasti.dan aku akan membayangkan selepas itu ramai yang akan melabel aku sebagai anak yang manja , berpisah sikit pun nak nangis , tak gentle dan tak lelaki.

tapi percayalah , beban yang dipikul untuk meninggalkan seorang ayah bersendirian di rumah dan beban mengingatkan yang hidup ini akan ditempuh tanpa seorang bergelar ibu tidak mampu lagi disembunyikan.

maka air mata penawarnya . aku harap kalian faham .


* * *
apa-apa pun ,kepada mak dan abah , terima kasih banyak-banyak membesarkan Anas. kepada adik beradik yang memang tak putus memberi sokongan dan bantuan , kepada Nur Amira kerana sudi menemani, dan terima kasih banyak-banyak diucapkan kepada  rakan-rakan dan guru-guru seawal di tadika Kemas , SK Taman Ehsan , SMK Taman Ehsan , SM Sains Seremban dan juga Kolej Mara Seremban. terima kasih kerana semua jasa dan persahabatan.tidak lupa rakan-rakan yang kenal secara sengaja dan tidak sengaja , pembaca blog ini , dan semuanya.

aku akan bertolak jam 9.00 pagi di KLIA. dan petang itu , aku akan mulakan hidup baru.terima kasih.terima kasih.terima kasih.

aku mohon doa dan kekuatan untuk menempuh hari mendatang.moga aku tidak lupa diri.
------------------------------------------------------------------------------------------------

sementara ibu dan ayah kamu masih ada , bahagiakan mereka dalam apa juga cara. hargailah , doakanlah , lindungilah dan berjasalah : )

p/s : sedekahkan al-fatihah kepada arwah ibu saya.terima kasih. : )

Friday, February 8, 2013

a last visit : KMS

salam alaik.


takda apa yang berubah sangat di KMS . kecuali bekas-bekas pelajarnya makin hari , makin terserlah kekacakan.

jaga-jaga.

Wednesday, February 6, 2013

a last visit.

salam alaik.

kadang-kadang rasa teruja yang terbenak dalam dada itu , terlalu berbunga-bunga. sehingga aku tidak tahu mahu bermula bagaimana , tentang apa , di mana , dan kenapa.

ketika aku masih lagi dibangku sekolah , aku selalu impikan satu hari dimana , hari tersebut aku akan pulang melawat semula sekolah tempat aku belajar , aku akan datang sebagai bekas pelajar . dan hari itu , aku akan berjumpa guru-guru lama , yang penuh jasa berbakti , dan aku mahu sebut satu-satu kepada mereka tentang perkataan yang berbunyi terima kasih . dan aku membayangkan hari itu , aku akan memohon halal ilmu dan memohon restu agar dimudahkan urusan.

waku itu , aku masih lagi di tingkatan empat. waktu itu , impian itu hanya impian mainan. tetapi selepas kira-kira 4 tahun berlalu , rupanya impian itu akhirnya menjadi nyata.


ketika aku melihat pelajar diatas tidur berbaring di dalam surau , sebenarnya scene begini sudah cukup menceritakan hidup selama dua tahun di sekolah asrama. tak perlu aku taip panjang-panjang. emosi dari kepenatan tidurnya , tetapi berbaring dengan harapan selesa untuk lena ,selepas menempuh hari yang memenatkan dan sukar , itu lah aku kira-kira empat tahun yang lepas.

kerana itu , saser istimewa di hati aku, kerana jerih yang aku alami disitu , tidak sama dengan di tempat lain. di mana jerih di situ , aku boleh ingat satu-satu .

dan aku hanya akan tersenyum mengenangnya.

* * *

insyaAllah , aku akan kembali , sebagai orang yang berjaya pula.

terima kasih SASER . terima kasih.